Thursday 4 August 2011

Parti politik baru dikatakan dalam proses penubuhan











Parti politik baru dikatakan dalam proses penubuhan

Sebuah parti politik yang baru dikatakan dalam proses penubuhan dan akan disertai ahli-ahli politik tanpa parti.Menurut sumber, parti itu akan mempunyai 33 ahli majlis tertinggi iaitu 22 daripada ahli politik Dayak dan sembilan Cina.
Menurutnya, daripada sembilan ahli majlis daripada kalangan Cina, tiga dari Miri, dua dari Sibu dan empat dari Kuching.
Parti itu yang masih belum mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dikatakan mendapat sokongan kuat daripada Barisan Nasional (BN) Negeri dan dipercayai diketuai ahli politik terkenal bergelar ‘Datuk’.
Sumber itu menambah, parti itu perlu untuk ‘menempatkan’ ahli-ahli politik tanpa parti seperti bekas menteri muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus.
Berikutan pemecatannya daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) kerana masalah dalaman parti pada 2007, Sng turut digugurkan daripada menyertai pilihan raya negeri April lalu.
Beliau bagaimanapun dilantik oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai penasihat khas belia di Pejabat Ketua Menteri.
Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom ketika dihubungi berkata, usaha mewujudkan parti baru di Sarawak hanyalah satu spekulasi.
“Saya tidak tahu menahu mengenai (kewujudan) parti politik baru tetapi setiap kali pilihan raya semakin hampir (diadakan), spekulasi seperti ini adalah perkara biasa,” katanya yang ketika ini melakukan tugas rasmi di Singapura.
Berita mengenai penubuhan parti baru itu dilaporkan buat pertama kalinya dalam akhbar tempatan berbahasa Cina.

No comments:

Post a Comment