Saturday 30 July 2011

Kerajaan negeri komited memartabatkan Bahasa Iba


Kerajaan negeri komited untuk menjadikan Bahasa Iban setaraf dengan Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang membayangkan, Bahasa Iban akan berkembang dan diterima baik, bukan hanya terbatas kepada masyarakat Iban sahaja.
“Para pelajar digalak mengambil Bahasa Iban sebagai salah satu mata pelajaran, sekali gus menjadikannya salah satu subjek dalam peperiksaan awam,” kata Jabu pada Majlis Penutupan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Bahasa Iban Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.
Ini, katanya, secara tidak langsung akan memartabatkan Bahasa Iban, sekali gus memperbanyakkan rujukan bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran (PNP) bahasa berkenaan.
“Segalanya terletak di bahu guru yang mengajar subjek ini dan saya harap ia boleh terus berkembang dan diterima oleh masyarakat umum,” jelasnya.
Pada masa sama, Jabu mencadangkan kursus berkenaan diadakan dua tahun sekali bagi menambah bilangan tenaga pengajar berkelayakan dan terlatih dalam subjek Bahasa Iban.
Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Universiti Malaya yang pada asasnya turut membantu dalam memperjuangkan mata pelajaran berkenaan.
Ini, katanya, termasuklah usaha Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada tahun lepas yang telah menjadikan Bahasa Iban sebagai salah satu daripada mata pelajaran bahasa di kampusnya.
Seramai 30 peserta kursus dari seluruh Sarawak mengikuti kursus selama enam minggu di Institut Perguruan Kampus Sarawak, Miri yang bermula 20 Jun lalu.
Turut hadir pada majlis malam kelmarin ialah Residen Bahagian Miri, Anthonio Kahti Galis dan Pengarah IPG Kampus Sarawak, Nuri Udin.

No comments:

Post a Comment