Saturday 30 July 2011

PPP jangan bertindak terburu-buru Hasrat meletakkan calon bebas pada PRU bukan sikap profesional, kata Mawan

SIBU: Parti Progresif Penduduk (PPP) diminta jangan terburu-buru membuat keputusan untuk meletakkan calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya tidak mendapat agihan kerusi daripada Barisan Nasional (BN) Negeri.
“Tindakan PPP itu seolah-olah menentang BN dan membuat keputusan yang tidak bijak kerana sebelum ini mereka menggelar diri mereka adalah rakan kepada BN.
“Tetapi mereka menentang kita (BN) sekiranya tidak diberikan kerusi pada PRU yang akan datang dan ini menunjukkan mereka mempunyai sikap yang tidak profesional dalam parti,” ujar Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Tan Sri William Mawan Ikom.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas mengenai hasrat PPP meletakkan calon bebas pada PRU akan datang sekiranya tidak diberikan kerusi oleh BN Negeri.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan menyempurnakan Majlis Penutupan PLKN di Kem Junaco Park bagi Kumpulan 2 Siri 8/2011 sekali gus merasmikan kolam renang di kem tersebut.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Paul Igai dan Peter Howell Jilan, Pengusaha Kem PLKN Junaco Park Khiu Siong Hii, Komandan Kem Junaco Park Leftenan Kolonel Mohd Rozali Abdul Hamid serta para tetamu jemputan yang lain.
Beliau juga mahu PPP berunding dengan parti komponen BN Negeri yang lain untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan cara profesional.
“Jika PPP adalah rakan BN seperti yang dilaung-laungkan oleh mereka selama ini, kenapa pula menentang BN dengan meletakkan calon bebas? Cara ini dilihat sudah menderhaka dan tidak taat kepada BN,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mawan berharap PPP harus berbincang dahulu dengan parti komponen BN yang lain dan tidak wajar mengambil keputusan sedemikian.
“Kita sebagai rakan-rakan dalam BN haruslah bekerjasama dan elakkan bergaduh sesama sendiri. Buat PPP, jangan berjalan seorang diri kerana anda mempunyai rakan BN yang lain,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment