Tuesday 26 July 2011

Sarawak utamakan alam sekitar

Sarawak utamakan alam sekitar


ABDUL Taib Mahmud menerima cenderamata daripada wakil penganjur, Ir. Dennis Ong (kiri) sambil diperhatikan oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Australia, Paul Martins di Kuching, semalam.


KUCHING 25 Julai - Negeri ini akan terus menggunakan pendekatan pembangunan mapan dalam usaha mengekalkan kelangsungan alam sekitar, selain menjadikannya sebagai salah satu kriteria utama dalam melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan pada masa depan.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan negeri telah melaksanakan pembangunan secara lestari berbanding menggunakan pendekatan tradisional iaitu kaedah pembakaran bagi membersihkan tanah untuk melaksanakan pembangunan.
Katanya, sejak kebelakangan ini juga, kerajaan negeri telah memperuntukkan kewangannya terhadap pelaksanaan projek-projek 'hijau' dalam rancangan pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score).
''Score akan menetapkan tanda aras terhadap pelaksanaan penggunaan tenaga bersih di Sarawak khususnya tenaga solar, angin dan air berbanding pergantungan terhadap bahan fosil yang mampu merosakkan alam sekitar.
''Selain itu, tenaga bersih yang terhasil daripada sumber alam semula jadi ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan pelbagai industri hiliran dan perniagaan di wilayah tengah Sarawak dan kawasan sekitarnya," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kejuruteraan Australia ASEAN di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Taib menegaskan, isu alam sekitar di seluruh dunia memerlukan tindakan segera daripada semua pihak malah para jurutera pada masa kini perlu mencari penyelesaian untuk melindungi kepentingan aset alam itu.
Katanya, semua teknologi di dunia ini akan menjadi sia-sia sekiranya kepentingan penjagaan alam sekitar dipandang remeh atau masyarakat terus bersikap bahawa pihak lain akan menyelesaikan masalah tersebut.
''Sehubungan itu, saya berharap persidangan ini adalah penting sebagai saluran perbincangan berhubung penyelesaian terhadap kejuruteraan mampan bagi pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama mengekalkan alam sekitar," katanya.

No comments:

Post a Comment